comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kes peras RM1.25 juta: Kertas siasatan diserah kepada AGC esok

 

Oleh: Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berkaitan kes pemerasan wang RM1.25 juta melibatkan lima pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah lengkap dan akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC), esok.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata maklumat lanjut berkaitan perkembangan siasatan kes ini akan diberikan selepas tamat tempoh reman.

“Reman dua lagi suspek akan tamat esok dan selepas itu kertas siasatan akan dihantar ke AGC.

“Kenyataan lanjut berkaitan kes ini akan diberikan sama ada oleh saya sendiri atau Ketua Polis Negara pada esok atau lusa,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini mengesahkan lima pegawai kanan dan anggotanya ditahan disyaki melakukan pemerasan RM1.25 juta terhadap individu yang disiasat oleh mereka berhubung kes mata wang kripto.

Tiga daripadanya ditahan pada 3 Mei lalu di Jalan Tun Razak, terdiri daripada pegawai kanan berpangkat Asisten Komisioner (ACP), Superintendan dan Inspektor yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, berusia antara 38 hingga 50 tahun.

Hasil siasatan, polis menahan dua lagi suspek pada 4 Mei lalu terdiri daripada pengawai berpangkat Inspektor dan Sarjan yang bertugas di jabatan sama berkait kes itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini