comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes pokok tumbang, Selangor arah PBT bertindak bagi elak kejadian tidak diingini

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika menghadiri Majlis Muhibah Aidilfitri MBI Selangor di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, Shah Aam.

SHAH ALAM: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini akan diarahkan melaksanakan kerja-kerja memangkas dan memotong dahan pokok yang sudah tua bagi mengelakkan kejadian tidak diingini sebagaimana berlaku di Kuala Lumpur semalam sehingga meragut nyawa.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau akan mengeluarkan arahan itu menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor yang dijadualkan pada Jumaat ini.

“Itu pihak berkuasa tempatan harus mengambil kira (pokok tua)..Saya akan mengarahkan sendiri terutamanya (dalam) MMKN Jumaat ini.

“Saya akan minta supaya PBT untuk trim pokok bagi mengelakkan pokok tumbang atau dahan patah ketika dilalui atau ditimpa dengan angin yang deras dan kuat.

“Ini semua fenomena yang perlu diperhatikan terutamanya oleh pihak berkuasa tempatan bagi memastikan keselamatan dan juga kehidupan rakyat sekeliling terjamin,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Muhibah Aidilfitri MBI Selangor di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau yakin dan percaya PBT di negeri ini sudah mengambil iktibar kejadian puluhan pokok tumbang ketika hujan lebat di Shah Alam dan sekitar Sungai Buloh kira-kira tiga tahun lalu.

‘(Kejadian) berlaku dua tiga tahun lalu, apabila berlaku hujau lebat di Shah Alam dan juga di sekitar Sungai Buloh dianggarkan lebih puluhan pokok tumbang dan itu nasib baik tidak meragut nyawa.

“Sebagaimana kejadian itu, saya percaya mereka sudah belajar dari peristiwa terbabit dan mengambil langkah selanjutnya tetapi peringatan harus diteruskan,” katanya.

Semalam seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur berhampiran sebuah hotel.

Pokok terbabit juga menghempap 17 buah kenderaan selain dahan pokok turut terkena landasan monorel di kawasan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini