comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes rakan perniagaan didakwa seleweng RM2.8 juta, pemegang saham gesa AG campur tangan

Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

KUALA LUMPUR: Pemegang saham sebuah syarikat perlombongan bijih timah terkemuka di Selangor menuntut pejabat Peguam Negara campur tangan dalam kes laporan polis terhadap pengerusi eksekutif syarikat itu yang didakwa membuat penyelewengan wang berjumlah RM2.8 juta.

Mohd Zain Ghazali, 69, berkata beliau amat kesal dengan perkembangan terbaharu kes tersebut yang mana individu yang disiasat sepatutnya dituduh di mahkamah pada 28 Mei lalu.

“Pada 27 Mei lalu, saya dipanggil dan dimaklumkan oleh pegawai penyiasat kes dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bahawa kes itu telah mendapat arahan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk pertuduhan di mahkamah pada hari berikutnya iaitu Selasa.”

“Namun, saya terkejut apabila pada hari sama menerima panggilan daripada pegawai penyiasat sama yang menyatakan bahawa beliau diarah menyerahkan kembali kertas siasatan kes itu kepada pejabat TPR.”

“Saya berasa sangat kecewa dan pelik bagaimana satu kes yang disiasat lebih dua tahun dan mendapat arahan tuduh di mahkamah tiba-tiba ditarik balik begitu sahaja. Maka saya minta Peguam Negara (Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh) untuk campur tangan dan menegakkan keadilan kepada saya dan semua pihak berkepentingan dalam syarikat itu,” katanya, di sini, semalam.

Sebelum ini, Mohd Zain dalam satu sidang media 20 Mei lalu di Wangsa Maju meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pengerusi eksekutif syarikat itu yang didakwa terlibat dalam salah laku dan penyelewengan wang berjumlah RM2.8 juta.

Dalam sidang media sama, beliau mendakwa pengerusi eksekutif itu menubuhkan satu lagi syarikat menggunakan nama yang hampir sama dengan syarikat perlombongan sedia ada untuk perbuatan salah laku itu.

“Saya telah membuat tiga laporan polis berhubung perkara ini iaitu yang pertama pada 2 April 2022 diikuti laporan kedua bertarikh 26 Disember tahun sama dan laporan ketiga pada 16 Mei lalu.”

“Laporan saya dibuat berdasarkan juru audit syarikat kami menerusi penyata penyesuaian telah menemui transaksi kewangan tidak sah membabitkan jumlah RM2,828,208.80 oleh pengerusi eksekutif tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan bahawa kes itu kini berada di pejabat TPR dan polis menunggu arahan lanjut dalam kes tersebut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini