Tumpuan :
Nasional

Kes renjatan elektrik: JPJ beri kerjasama penuh kepada pasukan tindakan khas

Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli pada sidang media di majlis perasmian penutupan program MyLesen 2024 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dewan Komuniti Setiawangsa. FOTO: NSTP

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memberi kerjasama penuh kepada Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan untuk menyiasat mengenai insiden renjatan elektrik dalam sebuah bas ekspres di Pulau Pinang, Jumaat lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya akan mengikut segala arahan yang dikeluarkan pasukan yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan itu.

“Semalam Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dah maklumkan di Parlimen.

“Jadi saya rasa saya ikut apa yang YAB Menteri sebutlah. Kita ikut arahan apa yang akan dikeluarkan pasukan petugas khas (Special Taskforce) yang telah ditubuhkan Kementerian Pengangkutan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Program MyLESEN di Setiawangsa, pagi tadi.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberitahu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sudah mengeluarkan larangan sementara penggunaan soket elektrik dalam bas ekspres susulan kes renjatan elektrik meragut nyawa seorang remaja di Pulau Pinang Jumaat lalu.

Malah katanya, Kementerian Pengangkutan telah menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas untuk meneliti insiden tersebut.

Selain APAD, pasukan yang diketuai Kementerian Pengangkutan turut dianggotai JPJ, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan Institut Piawaian dan Penyelidikan (SIRIM).

Beliau memberikan masa selama 14 hari kepada pasukan itu untuk menyediakan laporan tersebut dan punca sebenar insiden itu akan diketahui setelah laporan berkenaan lengkap dan diserahkan kepada kementerian.

Dalam pada itu, menurut beliau pihaknya juga sedang mendapatkan pandangan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai notis tuntutan yang dikemukakan seorang ahli perniagaan berhubung dakwaan hak cipta plat MADANI.

Katanya, pihaknya akan meneliti apa tindakan yang perlu diambil.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini