Tumpuan :
Nasional

Kes salah laku BAM: 6 saksi telah beri keterangan

FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memanggil enam saksi bagi memberi keterangan berhubung salah laku dalam kepemimpinan tertinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, saksi berkenaan turut membabitkan saksi daripada jawatankuasa tertinggi badan itu.

“Siasatan masih berjalan dan beberapa saksi tambahan sudah dipanggil. Penyiasat memberitahu mereka masih melihat kepada isu mengenai elaun dan sebagainya.

“Bagaimanapun, ia hanya membabitkan individu, bukan seluruh organisasi. Kita jelas mengenai perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2024 di sini, hari ini.

Dilaporkan seramai lima pegawai daripada SPRM hadir di pejabat BAM Selasa lalu bagi meneliti beberapa dokumen termasuk minit mesyuarat bagi tujuan siasatan.

Sebelum ini BAM dalam satu kenyataan mengesahkan pegawai SPRM mengunjungi pejabat badan induk itu minggu lalu bagi mendapatkan maklumat tertentu.

Badan induk sukan itu menyatakan mereka akan memberikan kerjasama penuh sepanjang kehadiran pegawai berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini