comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes scam: Pengarah JSJK saran industri perbankan kaji cara panggilan pelanggan

Oleh: Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Industri perbankan disaran untuk mengkaji semula cara mereka menghubungi pelanggan melalui panggilan telefon.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Sri Ramli Mohamed Yoosuf berkata prosedur yang dijalankan kini hampir sama dengan modus operandi penjenayah penipuan dalam talian.

“Antara yang kerap dilaporkan dalam kes-kes penipuan dalam talian adalah penggunaan panggilan telefon untuk menghubungi mangsa. Situasi ini telah menimbulkan stigma dalam kalangan masyarakat bahawa apa jua panggilan daripada nombor tidak dikenali adalah ‘scammer’.

“Malahan, pihak saya juga berulang kali mengingatkan masyarakat untuk tidak melayan panggilan daripada nombor yang tidak dikenali.” katanya dalam satu sidang media di sini.

Ujar beliau, satu kaedah baharu perlu diwujudkan bagi mengurangkan risiko penipuan.

“Kita hendak kurangkan risiko. Yang paling kurang kita boleh buat adalah dengan tidak menjawab telefon. Kalau kita jawab, adalah risikonya.

“Saya percaya, perkara ini sedikit sebanyak turut mengakibatkan kesukaran kepada institusi perbankan untuk berhubung dengan pelanggan mereka bagi sebarang urusan yang berkaitan.

“Bagi mengatasi isu ini, adalah dicadangkan agar pihak bank yang membuat panggilan kepada pelanggan untuk terlebih dahulu memaklumkan tujuan panggilan tersebut secara jelas.

“Ini apabila saya sendiri diminta apakah tujuan panggilan, saya perlu berikan pengesahan mengenai diri saya. Jadi benda itu tidak berkesudahan. Saya kena sah pada dia, dia perlu sah pada saya.

“Sudahnya tidak ada pengesahan apa apa. Masing-masing letak telefon.” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan pihak bank untuk lebih berinovasi begitu juga industri tele marketing untuk mencari kaedah-kaedah baharu yang mana masing-masing hendak dapat jalankan kerja.

“Sebab ada yang hubungi daripada nombor pejabat, ada nombor persendirian jadi macam mana kita nak percaya yang mana sahih.

“Saya sarankan agar industri ini mengubah cara promosi mereka dan bukannya mengubah consumer behaviour.

“Oleh kerana wujudnya dikotonomi dalam keduanya, maka yang perlu menyerlah adalah yang mirip kepada protection of consumers, yakni penjual perlu berubah dan bukannya pembeli atau pengguna.

“Carilah kaedah baru yang lebih kreatif dan inovatif dalam melangsungkan khidmat pelanggan mereka.” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini