comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kes seleweng diesel turun, kes RON95 pula meningkat

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Selepas 20 hari pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, jumlah kes melibatkan penyelewengan bahan bakar itu menunjukkan penurunan signifikan berbanding sebelumnya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali bagaimanapun berkata, terdapat peningkatan bagi kes penyelewengan petrol RON95.

“Bagi tempoh 20 Mei hingga 9 Jun 2024, jumlah kes yang telah direkodkan ialah sebanyak 65 kes dengan rampasan diesel sebanyak 520,803 liter.

“Manakala bagi tempoh 10 Jun hingga 30 Jun 2024 iaitu 20 hari selepas penyasaran subsidi ini dilaksanakan, statistik menunjukkan penurunan drastik dengan hanya 14 kes direkodkan di seluruh negara melibatkan jumlah rampasan minyak diesel sebanyak 68,457 liter.

“Perbandingan ini menunjukkan berlakunya penurunan rampasan diesel sebanyak 87 peratus selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, jumlah individu yang ditahan bersabit kes itu bagi tempoh sama juga berkurangan daripada 40 orang kepada seorang.

Mulai 10 Jun lalu, kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel di semenanjung dengan harga runcit semasa bahan api diesel adalah RM3.35 seliter manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.

Mengulas lanjut, menurut Armizan, sebanyak 46 kes dengan rampasan 14,011 liter petrol RON95 direkodkan selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Jumlah itu meningkat berbanding 37 kes membabitkan rampasan 17,064 liter bagi tempoh 20 Mei hingga 9 Jun lalu.

Selain itu, jumlah tangkapan turut meningkat daripada 10 orang kepada 17 orang dalam tempoh sama.

Justeru, jelas Armizan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memperhebat tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi terutama minyak diesel serta petrol RON95 di seluruh negara selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

“KPDN akan terus mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan ke atas aktiviti penyelewengan barang kawalan di bawah Ops Tiris 3.0 di seluruh negara dengan kerjasama rapat agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan isu ketirisan dapat diatasi secara menyeluruh dan berkesan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini