
SHAH ALAM: Empat pegawai penguat kuasa direman bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima suapan daripada pemilik sebuah syarikat.
Suapan duit bulanan itu disyaki sebagai balasan membantu urusan tuntutan pembayaran penyelenggaraan bot-bot milik sebuah jabatan kerajaan.
Perintah reman tiga hari sehingga Jumaat ini dikeluarkan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.
Keempat-empat suspek lelaki berusia berusia antara 42 hingga 59 tahun itu ditahan jam 6 petang semalam ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
Menurut sumber, dua suspek yang ditahan bertugas di Putrajaya manakala dua lagi berkhidmat di sebuah daerah di Selangor.
“Siasatan awal mendapati semua suspek dipercayai meminta dan menerima wang suapan secara bulanan daripada pemilik syarikat berkenaan yang dimasukkan ke akaun bank masing-masing dari tahun 2019 hingga 2023,” katanya.
Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta SPRM 2009.