
KLANG: Polis menahan lima lagi lelaki bagi membantu siasatan kes seorang lelaki mati ditembak di Jalan Hamzah Alang, Persiaran Hamzah Alang, di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, berkata kesemua lelaki berusia 30-an hingga 40-an itu ditahan di sekitar Kapar antara jam 11 malam tadi hingga 5 pagi tadi.
“Berikutan itu, keseluruhan tangkapan kini adalah enam orang dan mereka semua direman empat hari sehingga Selasa ini.
“Punca sebenar kes tembak ini masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, seorang penganggur berusia 20-an ditahan pada jam 12 tengah hari, kelmarin kerana disyaki terbabit dalam kes berkenaan.
Pada Rabu lalu, seorang lelaki dengan 12 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah kekerasan ditemui mati ditembak di hadapan sebuah premis kedai di Jalan Hamzah Alang, Kapar.
Kejadian membabitkan mangsa berusia 36 tahun itu disedari orang awam yang terdengar beberapa das tembakan dan berlaku kemalangan kecil.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.