
KUALA LUMPUR: Sebanyak 31 laporan polis diterima di Selangor setakat ini berkaitan kes penipuan umrah melibatkan syarikat Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, laporan polis itu dibuat oleh wakil keluarga, ejen serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Setakat ini kita ada terima 31 laporan polis di Selangor. 19 laporan dibuat oleh pihak mangsa yang setiap satu mewakili satu keluarga.
“11 laporan lagi kita terima dari ejen-ejen yang juga mewakili setiap kumpulan kecil dan satu laporan daripada pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” jelasnya.
Mengulas mengenai tempoh reman lapan individu termasuk pasangan suami isteri yang juga pemilik syarikat berkenaan, Hussein menjelaskan kesemua suspek akan disambung reman esok.
“Esok, semua akan disambung reman. Lain-lain masih dalam siasatan,” katanya.
Sebelum ini, lapan individu terbabit berusia antara 24 hingga 46 tahun direman selama tiga hari berkaitan dakwaan kes penipuan pakej umrah.
Setakat ini, pihaknya menganggarkan kerugiaan RM2.1 juta membabitkan 379 mangsa yang terkandas.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.