Tumpuan :
Nasional

Kes tipu umrah: ‘Saya jual motor, laptop, sandarkan geran kereta sebab nak bayar sebelum November’ – Mangsa

Salah seorang jemaah umrah, Muhammad Khairun Abdul Hamid yang terkandas.

KUALA LUMPUR: Kes ratusan jemaah umrah yang terkandas baru-baru ini terus menjadi tumpuan media terutama berhubung siasatan dijalankan pihak berkuasa terhadap pihak terlibat.

Di satu sudut lain, rasa sedih, sebak malah kecewa terus mencengkam mangsa-mangsa yang teraniaya untuk mengerjakan ibadah itu apabila harapan disandarkan hilang begitu sahaja.

Muhammad Khairun Abdul Hamid, 37, peniaga roti canai di Negeri Sembilan ini tidak dapat menahan sebak ketika ditemui.

Motosikal dan komputer ribanya dijual semata-mata mahu menyelesaikan bayaran pakej umrah seperti diminta syarikat pengendali umrah terbabit.

“Persiapan kami sebab pertama kali nak pergi umrah kan, jadi semua lengkap sampai sanggup jual semua barang sebab nak pergi umrah.

“Saya jual motor dan laptop, dan saya sandarkan geran kereta sebab dorang desak kita nak cukupkan hujung bulan November untuk selesaikan pembayaran,” katanya.

Namun niatnya untuk menghadiahkan pakej umrah kepada isterinya itu berkecai selepas mendapati penerbangannya ke tanah suci pada 14 Januari lalu ditunda.

“Kami dapat tahu hari Sabtu, kita sangka baik dia cakap tunda 19 Januari. Tapi bila tengok ramai-ramai dah pergi pejabat dia, dia cakap visa tak buat, tiket pun takda lagi.

“Masa tu hilang kepercayaan dah, waktu tu kita menaruh harapan tinggi tapi sebak pun ada. Saya sampai tahap jual motor sebab nak pergi umrah tu kan,” katanya lagi.

Sejak itu katanya, beliau dan isteri akan mengalirkan air mata setiap kali melihat bagasi umrah mereka yang telah siap sejak beberapa bulan lalu.

“Kami sampai tidur dalam kereta, nak balik rumah tak mampu. Bila tengok beg (bagasi) tu sebak. Harapan terlalu tinggi, kita tak boleh nak cakap apa bang,” ujarnya lagi.

Kini harapan mereka hanya mahu wang RM11,000 dikembalikan semula, walaupun realitinya pahit apabila hasrat untuk ke tanah suci tidak kesampaian.

Cerita Muhammad Khairun dan isteri ini hanya satu daripada 379 jemaah umrah yang turut terkesan dengan kejadian ini.

Untuk rekod, polis menganggarkan kerugian RM2.1 juta melibatkan semua jemaah yang terlibat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini