comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kes tukar agama anak: Ibu tunggal menang rayuan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengetepikan penukaran agama secara unilateral tiga anak Loh Siew Hong kepada Islam, selepas memutuskan penukaran agama secara unilateral oleh bekas suaminya adalah menyalahi undang-undang.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata berhubung isu penukaran agama secara unilateral, mahkamah terikat dengan keputusan kes Indira Gandhi yang menetapkan bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa mesti diperoleh sebelum kanak-kanak di bawah umur ditukar agama.

“Oleh itu, kami membenarkan rayuan oleh pemohon (Loh) dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi,” kata Hakim Hadhariah, yang bersidang bersama Hakim Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.

Hakim Hadhariah turut membenarkan beberapa pelepasan bagi ibu tunggal itu, antara lain yang mengisytiharkan tiga anaknya beragama Hindu.

Pada 11 Mei lepas Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menolak permohonan ibu tunggal, Loh Siew Hong untuk mencabar penukaran agama tiga anaknya kepada Islam secara unilateral oleh bekas suaminya, selepas memutuskan bahawa tiada bukti yang menunjukkan ketiga-tiga anaknya berhenti menganut agama Islam semasa berada di bawah jagaan ibu mereka.

Hakim Hadhariah dalam penghakiman ringkasnya berkata Mahkamah Tinggi tidak menangani dua isu berkaitan dalam prosiding semakan kehakiman yang dibawa oleh Loh.

Beliau berkata kedua-dua isu ini ialah sama ada penukaran agama secara unilateral adalah sah, dan sama ada Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Islam Perlis (Pindaan) 2006 adalah tidak mengikut perlembagaan kerana ia bercanggah dengan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Mengenai isu penukaran agama secara unilateral, Hakim Hadhariah berkata mahkamah terikat dengan keputusan dalam kes Indira Gandhi yang memutuskan bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa mesti diperoleh sebelum anak-anak di bawah umur boleh ditukar kepada agama lain.

“Dalam kes ini, tidak boleh dipertikaikan lagi bahawa perayu (Loh) tidak memberikan kebenaran untuk ketiga-tiga kanak-kanak itu memeluk agama Islam,” tambahnya.

Loh, 36, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 25 Mac 2022 dan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, MAIPs, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri Perlis sebagai responden pertama hingga keempat.

Ibu tunggal itu memohon pengisytiharan bahawa tiga anaknya beragama Hindu dan bekas suaminya, M. Nagahswaran, tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa persetujuannya.

Wanita itu juga memohon pengisytiharan bahawa tiga anaknya itu, sebagai kanak-kanak, tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk memeluk agama Islam tanpa kebenarannya.

Tiga kanak-kanak itu, kembar perempuan berusia 16 tahun dan lelaki berusia 13 tahun yang diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kemudian diserahkan kepada Loh pada 21 Feb 2022 selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya.

Loh diwakili oleh peguam A. Srimurugan dan J. Gunamalar manakala MAIPs diwakili oleh peguam Haniff Khatri Abdulla, manakala penasihat undang-undang Perlis Mohd Radhi Abas bagi pihak Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Mohd Asri dan kerajaan negeri Perlis- BERNAMA

Loading...
Terkini