comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes Zayn Rayyan: Penduduk masih trauma, harap pelaku dibawa ke muka pengadilan

Lokasi mayat Zayn Rayyan Abdul Matiin (gambar kecil) ditemukan pada 6 Disember lalu.

PETALING JAYA: “Saya serahkan siasatan kepada pihak polis dan berharap pelaku yang sebenar dalam pembunuhan Zayn Rayyan dapat dihadapkan ke muka pengadilan”.

Che Zaiton Abd Aziz, 55, yang juga keluarga bekas pengasuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, mengakui berita penahanan ibu dan bapa kanak-kanak itu bagi membantu siasatan polis, kelmarin agak mengejutkan beliau.

“Saya yakin semua pihak terkejut, termasuk saya sendiri. Namun kalau itu keperluan polis untuk menjalankan siasatan, kita serahkan kepada pihak berkuasa dan beri kepercayaan kepada mereka (polis) untuk jalankan siasatan.”

“Sebagai keluarga pengasuh yang pernah menjaga Zayn Rayyan, kami berharap siasatan kes ini dapat diselesaikan dengan sebaiknya dan pelaku sebenar dapat dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya ketika ditemui BH.

Untuk rekod, Che Zaiton adalah ibu mertua kepada bekas pengasuh Zayn Rayyan, Auni Afiqah Abas, 29, yang mana beliau turut membantu tugas menantunya menjaga kanak-kanak itu sekiranya Auni Afiqah ada urusan di luar rumah.

Beliau yang ditemui di kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai memaklumkan Auni Afiqah kebetulan tiada di rumah, hari ini kerana menghadiri satu majlis kenduri kahwin seorang rakan.

“Bila bercakap mengenai Zayn, pasti saya akan rasa sedih. Memang rasa rindu. Kadang kala saya akan buka gambar-gambarnya di telefon (bimbit).”

“Namun semua pihak perlu redha termasuk saya sendiri. Cuma saya harapkan kes dapat dirungkai dan pelaku dikenakan hukuman setimpal,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk yang juga jiran keluarga Zayn Rayyan, Siti Norzahiyah Bakar, 30, memaklumkan kediaman keluarga itu sudah lama tidak berpenghuni dan beliau difahamkan, ibu bapa Zayn Rayyan sudah berpindah beberapa minggu selepas kejadian.

“Berikutan kejadian itu (pembunuhan Zayn Rayyan), penduduk yang mempunyai anak-anak kecil memang berasa trauma, dan perasaan itu masih kekal hingga ke hari ini kerana pelakunya masih belum ditahan.”

“Saya sendiri yang mempunyai dua anak kecil berusia lima dan enam tahun, tidak akan membenarkan mereka keluar ke mana-mana sendirian termasuk bermain di luar sehingga ke hari ini. Saya akan temankan mereka ke mana-mana,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai penahanan ibu bapa Zayn Rayyan, suri rumah itu berkata perkara itu memang amat mengejutkan namun menyerahkan siasatan kepada pihak polis.

Polis semalam mengesahkan menahan sepasang suami isteri yang juga ibu bapa kepada Zayn Rayyan bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Ketua Polia Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata suami isteri itu ditahan pada jam 10.05 pagi, kelmarin di sebuah lokasi di Puncak Alam.

Pada 6 Disember lalu, mayat kanak-kanak malang berusia enam tahun itu ditemui di anak sungai, kira-kira 200 meter dari kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini, pada jam 10 malam.

Mayatnya ditemui oleh orang awam yang menyertai operasi mencari mangsa.

Bedah siasat di Hospital Sungai Buloh mengesahkan kanak-kanak itu dibunuh.

Sehari sebelum itu, polis mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada jam 6.30 petang oleh keluarganya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini