comscore
Tumpuan :
Nasional

Kesan minyak hitam di LRA Sungai Labu, LUAS aktifkan kod kuning

SHAH ALAM: Susulan penemuan kesan minyak hitam di aliran longkang Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Labu, Sepang, hari ini, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengaktifkan Kod Kuning.

Menerusi laman Facebooknya LUAS memaklumkan kejadian itu berlaku sekitar jam 10 pagi tadi dan pengaktifan dilakukan mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air untuk tindakan siasatan menyeluruh serta mitigasi segera.

“LUAS segera melaksanakan tindakan pencegahan awal dengan meletakkan oil boom dan oil pad di lokasi parit monsoon yang mengalir ke Sungai Labu bagi memerangkap dan menghalang aliran kesan minyak tersebut dari mengalir ke sungai berhampiran.

“Pemerhatian awal mendapati tiada kawasan perindustrian atau bengkel membaiki kenderaan di bahagian hulu sungai,” katanya, di sini.

LUAS berkata, siasatan lanjut pihaknya di lokasi kejadian mendapati sisa minyak tersebut terkumpul di bawah jambatan jalan utama dengan anggaran panjang aliran adalah 1.8 kilometer yang disyaki berpunca daripada pembuangan minyak di aliran longkang tersebut.

Menurutnya, pensampelan ujian bau yang dilaksanakan merekod bacaan sehingga lima ton dan bau seakan-akan minyak bitumen.

“Jarak di antara lokasi insiden ke LRA Sungai Labu adalah sekitar 0.75 kilometer dan LRA Salak Tinggi adalah 5.78 kilometer.

“Setakat ini keadaan adalah terkawal dan tiada permasalahan dan kesan kepada muka sauk bekalan air,” katanya.

Agensi itu berkata, kerja-kerja pembersihan segera digerakkan di lokasi dan pihaknya memantau rapi keadaan semasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini