KOTA BHARU: Jumlah tunggakan premium tanah dan bayaran lain yang belum dijelaskan tiga agensi kerajaan iaitu Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), FELDA dan FELCRA membabitkan nilai keseluruhan lebih RM23.4 juta.
Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berkata daripada jumlah berkenaan, nilai premium FELCRA ialah RM14.75 juta; KESEDAR (RM7.13 juta) dan FELDA sebanyak RM1.55 juta
Katanya, kelulusan pemberi milikan bagi tanah yang digunakan untuk fasiliti pentadbiran agensi akan diluput sekiranya premium gagal dijelaskan.
“Kerajaan negeri sudah mengambil langkah sepatutnya seperti mengeluarkan Notis 5A dan berunding dengan agensi berkenaan.
“Kelulusan yang tidak disertai dengan bayaran kepada Notis 5A akan diluputkan.
“Namun bagi kawasan yang tertakluk kepada Akta Kawasan Petempatan Berkelompok 1960 (GSA), penamatan kawasan bagi membolehkan kerajaan melupuskan tanah kepada pemohon yang lain perlu mematuhi kehendak akta itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Rohimi Wan Daud (PAS- Melor) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Mohd Nassuruddin yang juga ADUN Meranti berkata, hanya FELDA yang membangunkan tanah menggunakan Akta GSA di Kelantan, manakala FELCRA dan KESEDAR tidak menggunakan Akta GSA.
“Tanah-tanah dalam kawasan GSA yang perlu dibayar premium oleh agensi berkaitan terbahagi kepada dua kategori iaitu kawasan penempatan (Seksyen 6).
“Kawasan penempatan terbahagi dua iaitu kawasan penempatan kediaman peneroka dan kawasan yang digunakan oleh agensi untuk tujuan fasiliti pentadbiran kawasan ladang (Seksyen 5).
“Permohonan pemberi milikan yang gagal dijelaskan premium adalah FELDA Chiku 6 membabitkan keluasan 859 hektar dan Chiku 1 keluasan 2,309 hektar,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.