comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Keselamatan ATC diutamakan sebelum laluan LRT Kelana Jaya dibuka lebih awal

16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung operasi selama tujuh hari bermula 9 hingga 15 November
CAPTION2:Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr. Wee Ka Siong (kanan) ketika meninjau Pusat Kawalan LRT operasi laluan Kelana Jaya.

KUALA LUMPUR : Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) akan memastikan kestabilan dan keselamatan sistem kawalan tren automatik (ATC) sebelum membuat keputusan membuka LRT Laluan Kelana Jaya sepenuhnya lebih awal dari yang dijadualkan.

Pembukaan laluan LRT Kelana Jaya kepada orang ramai juga tertakluk kepada penilaian dan kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan sekiranya ujian yang dijalankan berjaya tanpa menunjukkan sebarang gangguan sistem.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, setakat hari ini, pihak Rapid Rail sudah menjalankan beberapa ujian sistem dan pergerakan tren bagi menilai kestabilan.

“Hasil ujian awal menunjukkan petanda positif. Namun begitu, kami tetap akan melaksanakan beberapa ujian lagi bagi memastikan ia stabil dan mematuhi piawaian keselamatan sebelum menyambung operasi kerana keselamatan pengguna sentiasa menjadi keutamaan.

“Ujian ke atas sistem itu dilakukan oleh pasukan kejuruteraan Rapid Rail bersama dengan pihak pengeluar peralatan asal (OEM) Thales Group,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya yakin atas kebolehan pihak Rapid Rail dalam menangani masalah terbabit.

“Sejak gangguan sistem dikesan, siasatan diaknostik awal dan penukaran komponen sistem ATC sudah dilakukan oleh pakar teknikal dan pasukan kejuruteraan dalaman yang terlatih bersama-sama dengan pihak OEM selaku pengeluar sistem terbabit,” katanya.

Katanya, LRT Laluan Kelana Jaya dibuka kepada umum pada 1998 dan menjadi laluan paling sibuk di antara jajaran sistem rel kendalian Rapid KL.

“Sistem ATC bagi laluan itu adalah sistem yang sudah diguna pakai sejak hampir 25 tahun lalu dan memang dirancang untuk penaikan taraf.

“Bagaimanapun, kerosakan yang dialami sekarang merupakan kerosakan awal yang diluar jangkaan.

“Pada bulan lalu, pihak Lembaga Pengarah Prasarana Malaysia Berhad sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta yang diperlukan untuk fasa pertama penaikan taraf sistem berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, 16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung operasi selama tujuh hari bermula 9 hingga 15 November.

Stesen yang terbabit dalam penggantungan operasi itu adalah stesen Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asia Jaya, Universiti, Kerinchi, Bangsar, Abdullah Hukum, KL Sentral, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park.

Prasarana dalam kenyataan berkata, stesen lain beroperasi seperti biasa bermula jam 6 pagi, namun akan menamatkan perkhidmatan lebih awal iaitu pada jam 11 malam.

Loading...
Terkini