comscore
Tumpuan :
Nasional

Keselamatan jemaah jadi keutamaan, TH siap sedia hadapi bencana di Tanah Suci

Syed Saleh bergambar bersama wakil media pada Majlis Pelepasan Petugas Haji di KLIA, hari ini. FOTO: NSTP

SEPANG: Lembaga Tabung Haji (TH) mempunyai program pengurusan bencana yang didokumen dan sentiasa dipraktikkan melalui simulasi sebagai persediaan berdepan sebarang bencana tidak diingini demi keselamatan jemaah Malaysia di Tanah Suci pada musim haji tahun ini.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman, berkata pihaknya juga turut berbincang dengan semua pemegang taruh sama ada di Malaysia dan Arab Saudi termasuk Kedutaan Malaysia di Arab Saudi bagi memastikan urusan haji tidak terjejas akibat bencana yang berlaku.

Beliau berkata, sebelum ini jemaah haji Malaysia pernah berdepan banjir kilat di Tanah Suci dan masalah itu dapat ditangani dengan baik.

“Jemaah Malaysia pernah berdepan hujan lebat, kilat, petir dan banjir kilat pada 2004, 2008, 2016 dan 2018 yang berlaku di Makkah, Arafah dan Mina yang semuanya dapat ditangani dengan baik,” katanya selepas hadir menyantuni 150 petugas TH termasuk pengamal media yang digerakkan ke Arab Saudi bagi membuat persediaan awal di Hotel Movenpick di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas bencana banjir kilat yang berlaku di bahagian utara Arab Saudi Selasa lalu, yang menyebabkan penutupan sekolah dan jalan, manakala Pusat Meteorologi Kebangsaan Saudi (NCM) mengeluarkan amaran perjalanan.

Sementara itu, Syed Saleh turut mengingatkan jemaah Malaysia yang menunaikan haji supaya sentiasa menjaga diri disebabkan Arab Saudi ketika ini dilanda cuaca panas menghampiri 48 hingga 50 darjah Celsius.

Beliau berkata, kesihatan adalah perkara penting untuk dijaga bagi memudahkan jemaah menunaikan ibadah haji dengan sempurna.

Katanya, jemaah dinasihatkan tidak terlalu terdedah kepada cuaca panas dan minum air secukupnya bagi mengelak diserang strok haba kerana cuaca panas ini juga berisiko kepada mereka yang mengalami penyakit lain.

“TH juga ada menyediakan klinik dan hospital di maktab serta khemah penginapan dan bagi jemaah yang berdepan masalah kesihatan boleh berjumpa doktor di sana,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini