comscore
Tumpuan :
Nasional

Keselamatan Negara Terjamin – PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan keselamatan negara masih di tahap terbaik dan rakyat tidak perlu bimbang, susulan dakwaan wujud ejen perisikan Israel, Mossad, di negara ini.

Perdana Menteri menegaskan, beliau akan mendapatkan laporan terperinci daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berhubung dakwaan itu.

“Saya belum dapat laporan terperinci daripada MKN dan polis. Saya rasa Ketua Polis Negara sudah membuat kenyataan.

“Kita tunggu selepas saya jumpa Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah MKN dan semua agensi berkaitan. Saya akan dapatkan laporan.

“Tahap keselamatan negara seperti yang dijamin masih baik, jadi harap (rakyat) tidak perlu bimbang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia 2022 di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Kelmarin, akhbar New Straits Times (NST) mendakwa ejen Mossad memasuki negara ini dalam usaha mengesan dan menculik rakyat Palestin yang mereka percaya sebagai aset Briged Hamas al-Qassam.

Laporan itu menyebut, Mossad dipercayai merekrut aset tempatan untuk membantu rejim Zionis memburu anggota Hamas di Malaysia, termasuk dalam kes penculikan dua lelaki Palestin dipercayai aset Briged Hamas al-Qassam di ibu negara, baru-baru ini.

Sebelum ini, 18 individu lelaki dan wanita warga tempatan serta warga Indonesia diberkas antara 29 September sehingga 4 Oktober lalu dalam beberapa siri serbuan di Lembah Klang dan Melaka, selepas didakwa terbabit dalam kes culik seorang lelaki warga Palestin di Jalan Yap Kwan Seng di sini, 28 September lalu.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata pihaknya giat berusaha mengenal pasti kemungkinan wujud pembabitan Mossad dalam kes berkenaan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini