comscore
Tumpuan :
Nasional

 Kesemua 63 jemaah umrah terkandas di Arab Saudi selamat dibawa pulang

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Kesemua 63 jemaah umrah warga Malaysia yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu, selesai dibawa pulang ke tanah air dengan kumpulan terakhir membabitkan baki 23 orang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Wisma Putra dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan kumpulan terakhir itu tiba pada jam 1.20 tengah hari tadi dengan menaiki penerbangan Malaysia Airlines (MH8023) dari Jeddah, Arab Saudi.

Sebelum ini, kumpulan pertama membabitkan 36 jemaah selamat tiba pada 4 November, disusuli kumpulan kedua (empat orang), Isnin lalu.

“Urusan membawa pulang jemaah umrah yang terkandas itu dilaksanakan dengan mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi. “Kerajaan Malaysia juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam membantu usaha ini,” menurut kenyataan itu.

Rakyat Malaysia dinasihatkan sentiasa mematuhi dan menghormati undang-undang negara tuan rumah bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika berada di luar negara.

Dalam kenyataan sebelum ini, Wisma Putra dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memaklumkan bahawa seramai 63 jemaah umrah negara ini yang terdiri daripada 28 dewasa dan 35 kanak-kanak, terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu.

Menurut laporan media, semua jemaah berkenaan dikatakan dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan ibadah umrah pada Mac lalu.

Namun, mereka dikatakan hanya berada di Madinah dan tidak dibawa ke Makkah untuk menyempurnakan ibadah umrah, selepas ketua kumpulan tarekat berkenaan diusir keluar oleh Kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos lalu kerana didakwa melanggar undang-undang tempatan. – BERNAMA

Loading...
Terkini