KUDAT: Dalam usaha untuk menjadikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat sebagai sebuah organisasi relevan dan sentiasa dekat dengan masyarakat setempat, tugasan rondaan keselamatan dipertingkatkan sama ada di darat mahupun kawasan perairan di sini.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata rondaan terus dilakukan tanpa mengira siang dan malam di lokasi strategik.
Ini bagi memastikan penduduk terus menjalani kehidupan seharian dengan aman damai dan selamat tanpa dihimpit perasaan takut atau bimbang.
Beliau berkata dalam memastikan tujuan itu tercapai, kerjasama utuh dalam kalangan warga IPD Kudat sangat diperlukan agar tanggungjawab serta tugas dapat dijalankan sebaiknya.
Bagi memastikan tahap kesiapsiagaan anggota di tahap terbaik, lawatan ke pos kawalan hadapan turut dibuat selain rondaan di kawasan pulau.
Pada 15 sehingga 17 September lalu, Mohd Haris mengetuai sepasukan pegawai dan anggota dari IPD Polis Kudat dengan dibantu Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, membuat rondaan dan lawatan ke pulau-pulau di bawah tanggungjawab IPD Kudat.
Dalam lawatan itu, pos pos kawalan hadapan yang dijaga oleh Pasukan Gerakan Am, PGA Briged Sabah dan Angkatan Tentera Malaysia, ATM, turut ditinjau.
“Saya telah berjumpa dengan petugas-petugas di pos-pos ini bagi memastikan mereka dalam keadaan siap siaga.
“Bertemu dan menyantuni masyarakat di sana bagi tujuan kita turun padang melaksanakan program kepolisan komuniti yang mana program ini bukan hanya kita lakukan di tanah besar Kudat sahaja, tetapi masyarakat di pulau-pulau ini juga kita tidak lupakan.
Dengan pendekatan ini, katanya PDRM mengharapkan masyarakat setempat dapat memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memastikan keselamatan terpelihara.
Mohd Haris Ibrahim berkata rondaan berterusan juga terus diperhebatkan di kawasan perairan berhampiran sempadan antarabangsa, bagi memastikan tahap keselamatan di kawasan berkenaan sentiasa dalam keadaan baik.