comscore
Tumpuan :
Nasional

Kestabilan politik bawa pembangunan dan kemajuan di Sarawak

FOTO: Zahid Hamidi / Facebook

SIBU: Kestabilan politik telah membawa banyak pembangunan dan kemajuan di Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara pembangunan dan kemajuan itu adalah pengenalan teknologi hidrogen oleh Premier  Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut Datuk Seri Ahmad Zahid, tidak ada negeri di Malaysia yang mempunyai tujuh institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti di Sarawak yang menyediakan pengajaran dalam bidang teknologi seperti Internet  Kebendaan, robotik dan teknologi baharu.

“Saya berkata demikian bukan kerana membandingkan Sarawak dengan negeri-negeri lain, namun hakikatnya ialah apabila kestabilan politik dapat dicapai atas usaha Tan Sri Abang Johari yang bukan hanya terkenal di Malaysia malah di luar negara,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan pra-Gawai Parti Rakyat Sarawak (PRS) 2024 di sini malam tadi.

Beliau berkata amat penting bagi negeri mempunyai kestabilan politik untuk bergerak maju di dalam bidang teknologi.

Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan sokongannya terhadap TVET sebagai aliran baharu di dalam sistem pendidikan negara.

Menurutnya dahulu bidang TVET adalah pilihan kedua atau ketiga bagi ibu bapa yang anak-anak mereka gagal di dalam bidang akademik.

“Tetapi Sarawak telah menggantikannya sebagai pilihan pertama anak-anak muda untuk mendapatkan pelajaran. Inilah yang dijadikan contoh dan kemajuan ini saya yakin adalah kerana kepimpinan yang baik oleh Tan Sri Abang Johari,” katanya.

Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, selagi beliau diberikan amanah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneraju Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah, beliau akan memberikan keutamaan kepada kemajuan infrastruktur di kawasan luar bandar Sarawak.

Meskipun bukan terletak di bawah tanggungjawab kementeriannya, Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, beliau akan meminta Kerajaan Pusat bersama-sama kerajaan negeri membantu dalam memajukan rumah-rumah panjang yang uzur, musnah kerana kebakaran atau dilanda banjir.

Majlis sambutan itu turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang dan Presiden PRS, Datuk Joseph Salang Gandum.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini