comscore
Tumpuan :
Nasional

Kesulitan mangsa banjir di Tamparuli dapat perhatian NGO

Gabungan Sukarelawan Keningau dan Tmew Collection Tuaran bersama-sama barangan disumbangkan kepada mangsa banjir di Tamparuli. – FOTO NSTP

TAMPARULI: Kesulitan dihadapi penduduk kampung di daerah ini yang terjejas banjir terus mendapat perhatian pelbagai pihak yang tampil memberi bantuan untuk meringankan beban mereka.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari daerah lain tidak terjejas bencana itu adalah kumpulan paling aktif menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir terbabit termasuk di Kampung Sungai Damit, Lingga, Kiwoi, Bawang, Nohirat, Kauluan, Dansangai dan Tambulaong dengan menghantar barangan keperluan terutama makanan.

Antara NGO yang aktif membantu mangsa banjir sejak seminggu lalu ialah Gabungan Sukarelawan Keningau dan Tmew Collection Tuaran.

Mereka bergerak seawal jam 9 pagi hingga lewat petang, menyantuni mangsa banjir walaupun berdepan pelbagai cabaran seperti jalan putus dua, jambatan runtuh dan laluan penuh lumpur.

Wakil gabungan itu, Seriah Basir berkata, barangan keperluan diberikan kepada mangsa banjir dibeli menggunakan wang sumbangan orang ramai yang prihatin terhadap mereka.

“Kami menghantar bekalan makanan seperti air mineral, beras, mi segera, biskut, makanan dalam tin dan ubat-ubatan kepada penduduk terbabit.

“Setakat ini, kami sudah memberi sumbangan kepada 50 keluarga di Sungai Damit, Tambulaong (50), Nohirot (15) dan Lingga (60),” katanya

Beliau berkata, sebahagian besar penduduk terjejas terputus bekalan makanan dan air bersih sejak kejadian itu berlaku seminggu lalu.

Katanya, penduduk di pedalaman sukar keluar ke pekan untuk mendapatkan bekalan makanan kerana sebahagian besar laluan kampung mereka runtuh dan terputus dua.

“Bekalan air terjejas teruk apabila graviti kampung rosak akibat tadahan tertimbus tanah,” katanya.

Seriah berkata, kumpulan NGO akan berusaha sampai ke kampung terjejas walaupun sukar untuk memberi mereka bekalan makanan dan air bagi membolehkan mereka bertahan hidup.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini