comscore
Tumpuan :
Nasional

KESUMA & UM buat kajian penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang menjalankan kajian bersama Universiti Malaya (UM) bagi merealisasikan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, kajian itu antara lain meliputi terma rujukan dan fungsi suruhanjaya berkenaan.

“Satu kertas laporan interim akan dibentangkan kepada Kabinet dalam tempoh paling lama tiga bulan tetapi sekarang kita tengah melaksanakan kajian.

“Kajian tentang terma rujukan, fungsi, pengurusan kewangan dan sebagainya serta keahlian suruhanjaya itu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Inisiatif Caruman Percuma Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, KESUMA akan menerajui sebuah jawatankuasa pelbagai kementerian dan pihak berkepentingan bagi memenuhi hasrat penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig.

Mengulas lanjut, menurut Steven, KESUMA menyahut seruan penubuhan suruhanjaya terbabit selepas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Mac lalu.

Anwar ketika berucap pada penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig bagi bagi melindungi hak pekerja sektor berkenaan.

Beliau berkata, keutamaan suruhanjaya itu untuk memberikan keperluan sosial, pertikaian kontrak dan kemajuan kerjaya kepada pekerja berkenaan yang kini sudah mencecah 1.12 juta rakyat terutama dalam kalangan anak muda.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini