Oleh: Syafiqah Damanhuri
KUALA LUMPUR: Ketegangan geopolitik Rusia-Ukraine dan Asia Barat tidak memberi impak ekonomi yang signifikan kepada Malaysia dalam jangka masa pendek.
Bagaimanapun, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan tidak memandang remeh isu itu dan sentiasa memantau risiko jangka panjang sekiranya konflik berlarutan.
“Untuk maklumat Rusia dan Ukraine bukan rakan dagang utama negara. Perdagangan dua hala Malaysia dengan kedua-dua negara-negara tersebut bagi tahun 2023 hanyalah sebanyak 0.5% daripada keseluruhan jumlah dagangan antarabangsa negara.
“Manakala nilai dagang dua hala secara individu dengan negara-negara Timur Tengah yang sedang bergolak juga adalah rendah.
“Tetapi bagi mengatasi kesan geopolitik yang berpanjangan kementerian sedang giat meneruskan usaha-usaha untuk mengurangkan kebergantungan serta mempelbagaikan strategi pelaburan dan perdagangan bagi memastikan ekonomi Malaysia terus berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang ingin tahu mengenai langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk mempelbagaikan strategi pelaburan dan perdagangan di tengah-tengah ketegangan geopolitik antarabangsa Russia-Ukraine dan Asia Barat.
Tambahnya, bagi mengukuhkan hubungan diplomasi perdagangan, Malaysia sedang mempergiatkan penganjuran misi galakan pelaburan dan perdagangan bagi mengukuhkan hubungan kerjasama antara Malaysia dengan rakan dagang sedia ada seperti Asean, Amerika Syarikat, China, Kesatuan Eropah (EU), Jepun, Korea dan India.
Di samping mengeratkan kerjasama ekonomi dengan rakan-rakan dagang bukan tradisional seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Pakistan, negara-negara di Asia tengah seperti Kazakhstan, Uzbekistan, negara-negara di Amerika Selatan Brazil, Peru, Mexico serta negara-negara benua Afrika.
Justeru, ia memberi galakan kepada industri tempatan juga untuk meningkatkan penggunaan sumber domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan-bahan mentah dari luar negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.