comscore
Tumpuan :
Nasional

Ketengah pemimpin baharu, suburkan era PN lebih terampil

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Keringat generasi baharu perlu ditagih sebagai pemimpin bagi menerajui era baharu Perikatan Nasional (PN).

Seorang pemimpin parti komponen PN ketika menyarankan perkara itu berpendapat ia menjadi satu daripada enam syor yang perlu diberi perhatian segera oleh kepemimpinan tertinggi gabungan parti berkenaan.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata saranan itu dibuat kerana tidak mahu melihat gabungan parti itu terlalu selesa berikutan terdapat ruang yang perlu diperbaiki.

Katanya, generasi baharu yang merangkumi golongan muda dan profesional perlu diangkat sebagai kelompok peneraju PN, namun mereka perlu dibimbing pemimpin berpengalaman.

“Ini agar parti boleh memanfaatkan idea segar yang mereka bawa berlandaskan iktibar pengalaman tokoh lebih senior.

“Jadi, perlu ada adunan orang baharu dan lama tanpa mengetepikan sesiapa,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau, hari ini.

Wan Saiful turut mencadangkan agar PN tidak mengabaikan pengundi bukan Melayu termasuk Melayu di kawasan bandar kerana negara ini, memiliki populasi merangkumi pelbagai lapisan kaum serta masyarakat.

Justeru, beliau menggesa supaya kepemimpinan PN bekerja dengan lebih kuat untuk meyakinkan kelompok pengundi terbabit.

“Negara ini adalah milik semua dan PN mesti menjadi parti untuk semua lapisan rakyat,” katanya.

Selain itu, katanya, antara perkara yang perlu PN beri perhatian segera adalah pemikiran perjuangan PN yang mengangkat agenda prihatin, bersih dan stabil, bagi memastikan mesej itu sampai kepada rakyat demi membentuk Malaysia yang makmur serta sejahtera untuk semua.

Pada masa sama, beliau mahu ukhuwah dan kemesraan sesama parti komponen diperkukuhkan agar PN dapat bergerak sebagai satu ketumbukan.

Katanya, ini kerana generasi baharu jelik dengan politik kepartian yang sempit.

“Keterampilan peribadi tokoh yang memimpin PN perlu dipindahkan menjadi keterampilan kelompok yang merangkumi keseluruhan parti agar tiada ‘hero worship’ (pemujaan hero) seperti yang wujud dalam parti lain.

“Parti komponen PN juga perlu memperbanyakkan ruang perkongsian kepakaran dan membina kemampuan jentera secara bersama, terutama dalam memperkasa jentera akar umbi dalam kalangan orang muda,” katanya.

Loading...
Terkini