comscore
Tumpuan :
Nasional

Ketua jabatan berdepan tindakan tatatertib jika gagal laksana pusingan kerja mulai Oktober

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Semua ketua jabatan sektor awam dikehendaki untuk melaksanakan pusingan kerja di organisasi masing-masing mulai bulan depan.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993].

Menurut JPA, pelaksanaan pusingan kerja tersebut dalam usaha memastikan setiap kementerian dan jabatan berupaya meningkatkan penyampaian perkhidmatan secara optimum dan berkesan.

“Ketua jabatan perlu mengenal pasti dan melaksanakan pusingan kerja terhadap pegawai yang wajar ditukarkan bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan sentiasa dinamik dan menepati kehendak semasa.

“Kegagalan dalam melaksanakan pusingan kerja boleh disifatkan sebagai cuai dalam melaksanakan tugas dan tidak bertanggungjawab,” katanya.

JPA berkata, saranan berkenaan adalah antara inisiatif yang disasarkan dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam selari dengan Surat Edaran Pelaksanaan Urusan Pusingan Kerja yang dikeluarkan JPA pada 14 Mei lalu.

Langkah itu merupakan elemen penting dalam pengayaan dan peluasan tugas yang menyumbang kepada kemajuan kerjaya pegawai awam dari segi peningkatan kompetensi, pengalaman dan motivasi.

Mengulas lanjut, tambah JPA, pusingan kerja juga dapat membendung dan menangani masalah prestasi kerja, ketirisan dana awam, penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah.

“Justeru, semua ketua jabatan hendaklah memandang serius terhadap pelaksanaan pusingan kerja di kementerian atau jabatan masing-masing.

“JPA percaya bahawa tindakan ini akan menjadi peringatan kepada semua pegawai awam tentang kepentingan melaksanakan tugas dan mematuhi arahan yang telah ditetapkan,” katanya.

Ujar JPA, pihaknya akan terus memantau dan menilai pelaksanaan pusingan kerja untuk memastikan matlamat yang diharapkan tercapai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini