comscore
Tumpuan :
Nasional

Ketua jabatan tidak naik pangkat jika tidak lapor salah laku kakitangan bawahan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Ketua jabatan dan ketua unit di kementerian serta agensi kerajaan tidak akan dinaikkan pangkat jika tidak melaporkan aktiviti salah laku termasuk rasuah yang berlaku dalam pengetahuan membabitkan kakitangan bawahannya.

Amaran itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu pimpinan jabatan itu bukan sahaja membersihkan imej integriti penjawat awam, malah menyelamatkan negara daripada amalan keji tersebut.

“Kalau jabatan terang (berlaku) salah laku, mengapa ketua jabatan tidak lapor, mengapa ketua unit tidak tahu, saya kadang-kadang fikir kerana amalan ini telah berlaku bertahun-tahun mustahil tidak diketahui.

“Maka saya akan syorkan kepada KSN (Ketua Setiausaha Negara), kita adakan mesyuarat dalam tempoh sehari dua hari ini, dalam keputusan kita dalam penyelarasan gaji, kita tetapkan bahawa seseorang ketua jabatan atau ketua unit tidak akan diberikan kenaikan pangkat sekiranya diketahui di bawahnya itu, sistem itu bobrok (rosak) dan tidak dilapor dan diizinkan terus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Jun di Dewan De’ Seri Endon, PUSPANITAPURI, di sini hari ini.

Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di JPM (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Binti Othman Said; Menteri di JPM (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa; KSN, Tan Sri Mohd Zuki Ali serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Menurut Anwar, kaedah pelaksanaan ‘hukuman’ berkenaan akan diputuskan oleh KSN dan KPPA.

“Saya mahu satu keputusan tetap dalam minggu depan, saya nak bahawa ada ketetapan, ketua jabatan mesti lapor (salah laku),” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, tanggungjawab untuk membanteras rasuah membabitkan penjawat awam bukan terletak kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan badan penguat kuasa lain sahaja kerana mereka telah berusaha dengan maksimum.

Jelasnya, ketua jabatan dan ketua unit perlu mengambil peranan.

“Saya dah maklum kepada SPRM, saya akan tingkat peruntukan tambahan. Pegawai (SPRM) dan Peguam Negara telah dimaklum untuk bertindak sebaik ada bukti supaya dalam tempoh terdekat, kita dapat kawal (rasuah) dengan berkesan,” katanya.

Pada masa sama, ujarnya, dengan tindakan itu, beliau mahu melihat Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang terkini adalah lebih baik secara mendadak daripada tahun sebelumnya.

Anwar mahu Malaysia terkenal sebagai negara yang bersih atau paling minimum terlibat dengan rasuah.

“Saudara boleh pilih untuk tidak jadi ketua jabatan kerana tanggungjawabnya lebih, sila maklum kepada KPPA.

“Tapi kalau ada (jawatan) seperti saya sudah pilih, maka pertanggungjawaban ada, kamu makilah berbakul-bakul pun, kerja mesti dijalankan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini