comscore
Tumpuan :
Nasional

Ketua keluarga berusia 15 tahun, Aiman korban waktu sekolah

Oleh: Kumaran Rajamoney

SUNGAI PETANI: Ketika ramai ibu bapa mula terbiar kerana tidak dijaga anak-anak kerana keuzuran, seorang remaja berusia 15 tahun menjadi contoh apabila mula memikul bebanan menjadi ketua keluarga selepas kesihatan kedua ibubapanya terjejas.

Menjadi rutin harian bagi Aiman Ikhwan Arman yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 5, Gurun menguruskan ibu, Mazliana Jamaluddin, 39, yang terlantar sakit akibat ketumbuhan di kepala dan menjaga bapa, Arman Othman, 49, yang menghidap angin ahmar.

Anak kedua dari tiga beradik itu, mengorbankan masa memastikan ibunya disuap susu formula, selain menukar lampin pakai buang.

Abangnya, Aiman Irfan, 20, pula merupakan orang kurang upaya (OKU) sejak kecil, manakala adiknya, Aina Najwa, 10 masih bersekolah.

“Saya tidak ke sekolah sejak ibu saya terlantar sebulan yang lalu, kerana dimaklumkan perlu diberikan perhatian dan jagaan khusus dari waris. Ibu perlu disediakan minuman susu khas sebanyak tujuh kali sehari.”

“Urusan ini dibantu ibu-ibu saudara saya yang tinggal berhampiran. Kami bergilir-gilir menguruskan ibu dan ayah.”

Keadaan ini juga katanya menjejaskan sumber kewangan keluarga, dengan kebergantungan sepenuhnya kepada sumbangan disediakan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan PERKESO

“Ibu memerlukan belanja minimum RM50 sehari bagi penyediaan susu khas. Itu belum lagi soal lampin pakai buang yang kosnya juga agak tinggi. Itu tidak termasuk pembayaran ansuran rumah yang dibeli bapa.”

Mazliana katanya terlantar selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di kepala.

Ketumbuhan itu telah dikesan sejak 10 tahun lalu, selepas pemeriksaan Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dibuat kerana berhadapan sakit kepala yang terus.

Mazlina bagaimanapun menolak untuk menjalani pembedahan kerana telah dimaklumkan mengenai risikonya, termasuk koma atau terlantar.

Bagaimanapun, pembedahan tetap dijalankan selepas keadaan kesihatannya merosot.

Sementara itu, kesukaran keluarga berkenaan mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyampaikan sumbangan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Kamil Munim menjelaskan pihaknya akan mengusahakan bantuan tambahan kepada keluarga ini, termasuk penyediaan katil yang sesuai bagi meringankan beban yang ditanggung.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun bank 152125122863 (Maybank) atas nama Mazliana Jamaluddin.

Loading...
Terkini