comscore
Tumpuan :
Nasional

Ketua Polis Negara hadir majlis berbuka puasa bersama pengurusan kanan Media Prima

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain (empat, kiri) bersama Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan (tiga, kiri); Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat (kiri), Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Rafiq Razali (lima, kanan), Ketua Pegawai Operasi (COO) Media Prima Omnia, Datuk Mohd Effendi Omar (lima, kiri), Pengarang Business Times, Zuraimi Abdullah (empat, kanan), Pengarah Berita Op-Ed NST, Azman Abdul Hamid (tiga, kanan), wartawan Media Prima Berhad dan pegawai kanan PDRM bertemu bagi mengeratkan hubungan antara Media Prima Berhad dan PDRM ketika meluangkan masa berbuka puasa di sebuah restoran di Dengkil. – FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain malam ini meluangkan masa berbuka puasa dan moreh bersama pengurusan tertinggi Media Prima Berhad (MPB).

Program iftar dan moreh berlangsung di sebuah restoran di Dengkil, Selangor itu diadakan dalam suasana santai, dengan tetamu dijamu pelbagai juadah enak termasuk sajian istimewa di restoran berkenaan iaitu ikan patin serta kuih-muih tradisional.

Selesai majlis berbuka puasa, Razarudin bersama semua tetamu berkesempatan menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah, diikuti sesi moreh ringkas.

MPB diwakili Pengarah Urusan Kumpulannya, Rafiq Razali serta Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar, Pengarang Berita Ekonomi NST, Zuraimi Abdullah serta Pengarang Berita Op-Ed NST, Azman Abdul Hamid.

Sementara itu, Rafiq yang ditemui menyatakan sesi iftar ini diadakan atas jemputan Ketua Polis Negara, sebagai komitmen kedua-dua pihak untuk menerus serta mengukuhkan kerjasama yang sangat erat sejak sekian lama.

“Juga untuk meleraikan sedikit salah faham yang timbul sebelum ini. Alhamdulillah keadaan amat baik. Hubungan rapat warga media khususnya Media Prima dan PDRM akan diteruskan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota dan pegawai PDRM atas khidmat pasukan dalam menjaga keselamatan rakyat dan negara kita,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama antara pengamal media khususnya di Media Prima serta warga PDRM wajar diteruskan, memandangkan kedua-dua pihak saling memerlukan antara satu sama lain.

“Jika hubungan PDRM dan rakyat berpisah tiada, samalah juga dengan hubungannya di antara warga media serta PDRM,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini