PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Indonesia disyaki ketua sindiket pengedaran dadah ditahan bersama 5 warga tempatan hasil dua serbuan di ibu negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata 10 bungkusan dadah jenis syabu seberat 10 kilogram bernilai RM341,000 turut dirampas.
Menurut beliau, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Kuala Lumpur melakukan dua serbuan di sebuah kondominium di Jalan Ampang, ibu negara, Jumaat lalu.
Kesemua suspek ditahan berusia antara 26 hingga 46 tahun.
Polis turut merampas tiga buah kenderaan bernilai hampir RM300,000.
Siasatan mendapati sindiket pengedaran dadah itu bergerak aktif sejak dua bulan lalu di sekitar ibu negara dan akan menghantar bekalan dadah kepada pelanggan mengikut pesanan yang diterima.
Siasatan katanya masih dijalankan bagi mengenal pasti punca bekalan diperolehi.
Semakan mendapati lima warga tempatan tersebut termasuk seorang wanita mempunyai rekod jenayah lampau dan tiga daripada mereka dalam status dikehendaki dibawah kesalahan narkotik serta jenayah.
Kesemua suspek juga positif dadah dan kini direman 7 hari bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.