comscore
Tumpuan :
Nasional

Kewangan pengikut GISBH bergantung kepada pemimpin, tidak mampu lari ke negara jiran – KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain

KOTA BHARU: Polis percaya pengikut GISB Holdings (GISBH) yang digempur melalui Op Global ketika ini, dipercayai masih berada dalam negara kerana sukar untuk melarikan diri ke luar termasuk negara jiran, Thailand.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ini kerana ahli dan pengikut GISBH terlalu bergantung kepada kepimpinan tertinggi organisasi itu terutama dalam hal kewangan.

Beliau berkata, pengikut GISBH tiada kemampuan untuk melarikan diri ke sempadan Malaysia-Thailand khususnya di Kelantan kerana segala dana, elaun dan kewangan mereka mengharapkan pemimpin GIBSH yang sudah ditangkap dan dibekukan akaun mereka baru-baru ini.

“Kepimpinan tertinggi GISBH telah ditangkap, jadi yang ada di bawah (pengikut GISBH) tidak ada kemampuan untuk lari (ke sempadan negara).

“(Justeru) pengikut GISBH masih ada di sini (dalam negara) dan mereka menyorok kerana tiada duit, gaji dan sebagainya untuk melarikan diri,” katanya.

Ditanya mengenai Thailand, Razarudin berkata, agak mustahil untuk mereka melarikan diri ke negara jiran itu kerana pengikut GISBH tiada tempat hendak dituju di sana.

“Jika mereka melarikan diri sekalipun ke Thailand ke mana mereka hendak pergi… yang lima kepimpinan tinggi GISBH telah polis tahan awal, jadi saya tidak nampak mereka ke sana (Thailand).

“Buat masa ini hasil risikan dan siasatan polis tidak menampakkan pengikut GISBH melarikan diri ke sempadan negara,” katanya.

Mengenai dakwaan terdapat premis seperti kedai dobi, motel, farmasi dan restoran yang dikaitkan dengan GISBH di beberapa negeri menukar papan tanda di premis mereka selepas polis melakukan serbuan, Razarudin berkata perkara itu memang berlaku.

“Ya, memang ada banyak tempat dan premis GISBH telah menukar papan tanda. Kita ada kenal pasti dan sedang menjalankan siasatan berhubung perkara ini,” katanya sambil menambah polis menyiasat kes ini melibatkan pelbagai aspek.

Sementara itu, jurucakap Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) ketika dihubungi berkata MAIK akan terus mempergiatkan operasi menyerbu premis GISBH termasuk yang mempunyai kaitan dengan pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad di negeri ini.

“Kami membantu pihak polis dan JHEIK (Jabatan Hal Ehwal Islam Kelantan) dengan mencari bahan-bahan tulisan yang menjurus kepada Abuya Ustaz Ashaari,” katanya.

Sementara itu, tinjauan pagi ini di premis seperti kedai dobi, motel, farmasi dan restoran yang dikaitkan dengan GISBH di Kota Bharu, Tumpat dan Gua Musang mendapati, premis berkenaan ditutup dan tidak lagi beroperasi, selain terdapat sebuah hotel di Kota Bharu yang dikaitkan dengan kumpulan itu telah menukar papan tanda GISBH kepada nama hotel lain di premis itu.

Tinjauan di rumah amal dan sekolah dikaitkan dengan GISBH di Gong Kulim, Pasir Puteh yang diserbu pihak polis semalam pula mendapati premis itu ditutup, dengan garisan kuning pihak berkuasa masih kelihatan di premis yang sudah kosong itu.

Selain itu, 10 kandang kuda di lokasi berkenaan juga dikosongkan dipercayai dipindahkan ke lokasi lain.

Pada 11 September lalu, polis melalui Op Global menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja daripada 20 rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan, yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh dan seksual.

Serbuan mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan yang membawa kepada penahanan beberapa individu yang ada kaitan dengan GISBH.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini