Tumpuan :
Nasional

Khairul Anuar dilantik Panglima 1 Div ke-31

Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mohd Sofi Md Lepi (tengah) menyaksikan Mej Jen Datuk Mohamed Fauzi (kiri) menyerahkan tongkat kuasa kepada Mej Jen Datuk Khairul Anuar di Kem Muara Tuang, Samarahan, hari ini. IHSAN 1 DIV

KUCHING: Bekas Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mejar Jeneral Datuk Khairul Anuar Abd Aziz dilantik sebagai Panglima 1 Divisyen Infantri Malaysia (1 Div), hari ini.

Beliau menggantikan Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis yang bertukar keluar selepas memegang jawatan Panglima 1 Div sejak 27 Disember 2023.

Mohamed Fauzi akan mengisi kekosongan jawatan Ketua Staf Markas Angkatan Bersama yang ditinggalkan Khairul Anuar.

Majlis Serah Terima Tugas dua pegawai kanan Tentera Darat Malaysia (TDM) itu berlangsung di Kem Muara Tuang, Samarahan, hari ini disaksikan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi.

Seramai 27 pegawai dan 501 anggota lain-lain pangkat diketuai oleh Timbalan Komander Rejimen 511 Askar Wataniah, Lt Kol Khairul Azri Abdullah menyertai perbarisan serah terima tugas di Padang Kawad Kem Muara Tuang.

Turut hadir, Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Noorrul Azril Ariffin; Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Sauffi Omar; Panglima Briged Kesembilan Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Ahmad Norzaini Badrun dan Panglima Briged ke-31 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Dato Kamarulzaman Mohd Yunos.

Khairul Anuar, 53, yang dilahirkan di Temerloh, Pahang adalah Panglima 1 Div yang ke-31.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini