Tumpuan :
Nasional

Khatib guna teks khutbah Jumaat yang belum dibetulkan – Mufti

Mufti Negeri Sembilan, Prof Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin.

SEREMBAN: Khatib menggunakan teks khutbah yang belum dibetulkan menjadi punca solat Jumaat bagi kariah 16 buah masjid di Rembau, dekat sini, ditafsirkan tidak sah, kata Mufti Negeri Sembilan, Prof Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin.

Beliau berkata, berikutan itu solat Jumaat pada 8 November lalu di masjid-masjid berkenaan tidak sah kerana khatib telah tertinggal satu rukun khutbah Jumaat.

“Khatib di beberapa masjid di Rembau itu didapati telah menggunakan teks yang belum dibetulkan.

“Khatib tidak membaca pesanan bertakwa kepada Allah dalam bahasa Arab sedangkan ia rukun yang perlu dibaca dengan bahasa Arab.

“Ia hanya membabitkan beberapa buah masjid di Rembau dan tidak berlaku di daerah lain di negeri ini,” katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan media mengenai solat Jumaat bagi kariah 16 buah masjid di Rembau, ditafsirkan tidak sah susulan khatib dikatakan tertinggal satu rukun khutbah Jumaat pada solat Jumaat 8 November lalu.

Sehubungan itu, kariah masjid berkenaan diminta menggantikan dengan solat Zohor.

Faudzinaim berkata, pihaknya sudah mengeluarkan surat kepada Pegawai Agama Islam Daerah Rembau supaya membuat pemakluman berkenaan perkara itu kepada masjid-masjid yang terbabit.

“Nasihat saya kepada jemaah masjid yang terbabit supaya menggantikan dengan solat Zohor,” katanya.

Berdasarkan laman web Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) ada menyatakan terdapat lima rukun khutbah Jumaat iaitu memuji Allah SWT, selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, wasiat taqwa, membaca satu ayat al-Quran dan doa kepada orang beriman dalam khutbah kedua.

Khatib hendaklah menyampaikan semua rukun-rukun khutbah dalam bahasa Arab walaupun ia tidak difahami oleh jemaah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini