Tumpuan :
Nasional

Khatib tertinggal rukun khutbah Jumaat, kariah 16 masjid di Rembau diminta ganti dengan solat Zohor

Foto hiasan

SEREMBAN: Solat Jumaat bagi kariah 16 buah masjid di Rembau, dekat sini, ditafsirkan tidak sah susulan khatib dikatakan tertinggal satu rukun khutbah Jumaat pada solat Jumaat, 8 November lalu.

Sehubungan itu, kariah masjid berkenaan diminta menggantikan (qadha) dengan solat Zohor.

16 buah masjid berkenaan ialah Masjid Kariah Pekan Pedas, Masjid Kariah batu 17 Chembong, Masjid Kariah Astana Raja, Masjid Kariah Pulau Mampat, Masjid Kariah Titian Akar, Masjid Kariah Pedas Tengah dan Masjid Kariah Durian Daun.

Selain itu, Masjid Kariah Semerbok, Masjid Kariah Pilin, Masjid Kariah Legung Ulu, Masjid Kariah Nerasau, Masjid Kariah Dato Lela Maharaja Sepri, Masjid Kariah Kundur Hulu, Masjid Kariah Miku Lama, Masjid Kariah Sawah Raja dan Masjid Kariah Senama.

Mufti Negeri Sembilan, Prof Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin dalam satu surat pemakluman kepada Pegawai Agama Islam Daerah Rembau bertarikh 13 November 2024, memaklumkan solat Jumaat pada 8 November lalu membabitkan masjid-masjid berkenaan adalah tidak sah.

“Khatib telah tidak membaca rukun khutbah dalam teks bahasa Arab semasa khutbah Jumaat pada 8 November 2024 yang lalu.

“Pesanan bertakwa kepada Allah merupakan rukun khutbah Jumaat dan hendaklah dibaca dalam bahasa Arab.

“Jika khatib tidak membaca rukun ini dengan bahasa Arab di dalam khutbah, maka khutbahnya adalah tidak sah,” katanya.

Sehubungan itu katanya, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Daerah Rembau perlu membuat pemakluman berkenaan perkara ini kepada masjid-masjid yang terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini