comscore
Tumpuan :
Nasional

Khemah UTHM rosak dilanda ribut

FOTO: Ihsan pembaca

BATU PAHAT: Lebih 20 khemah yang didirikan di Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), di sini, rosak akibat dilanda ribut di sini, petang tadi.

Ia susulan kejadian ribut dan hujan lebat yang melanda petang tadi menyebabkan bumbung di beberapa bangunan termasuk di perpustakaan, fakulti dan fasiliti universiti berkenaan, turut tercabut.

Tinjauan mendapati khemah yang dipasang di dalam kawasan universiti berkenaan bagi persediaan istiadat konvokesyen pada hujung minggu ini rosak teruk.

Kebanyakan khemah yang rosak adalah khemah peniaga dan khemah untuk pengunjung sepanjang tempoh pesta konvokesyen universiti berkenaan.

Terdapat juga pokok besar tercabut sehingga tumbang menghempap beberapa kereta serta motosikal dipercayai milik pelajar dan kakitangan universiti berkenaan.

Peniaga, Mohd Azman Ali, 45, berkata ketika kejadian, dia baru tiba di tapak khemah berkenaan untuk membuat persediaan berniaga.

“Saya sampai ke kawasan berkenaan kira-kira jam 3 petang untuk meninjau khemah yang disewa sebelum mula berniaga hujung minggu ini.

“Tidak lama selepas itu, cuaca tiba-tiba gelap dengan awan hitam diikuti hujan begitu lebat.

“Hampir 15 minit hujan lebat, tiba-tiba angin kencang serta ribut datang dengan cepat menyebabkan khemah di kawasan sekitar tumbang dan rosak,” katanya.

Azman berkata, keadaan menjadi kelam-kabut dan semua orang bertempiaran lari ke kawasan selamat untuk menyelamatkan diri.

“Saya terus melarikan diri dan masuk ke dalam kereta. Pada masa yang sama saya ternampak bumbung zink beberapa bangunan berterbangan hingga ada yang tersangkut di atas khemah dan pokok berhampiran.

“Alhamdulillah, saya selamat dan tidak ada peniaga atau orang awam yang tercedera dalam kejadian berkenaan,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini