comscore
Tumpuan :
Nasional

Khianat 3 kereta, pemandu van didenda RM6,000

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seorang pemandu van didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan melakukan khianat terhadap tiga buah kereta, Julai lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Sulaiman memutuskan hukuman itu selepas tertuduh, C. Tamilvahnan membuat pengakuan berkenaan sejurus semua kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tamilvahnan, 29 tahun, berdepan hukuman penjara 18 bulan jika gagal membayar denda..

Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.

Mengikut kesemua pertuduhan itu, Tamilvahnan didapati bersalah melakukan khianat dengan membaling batu bata terhadap tiga buah kereta milik tiga individu berlainan.

Perbuatan itu mengakibatkan kerosakan pada cermin depan dan belakang tiga kereta berkenaan sekali gus menyebabkan kerugian keseluruhan dialami ketiga-tiga pemilik kenderaan terbabit sebanyak RM3,500.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan rumah bernombor 242-F, Taman Sinn, Jalan Semabok, Melaka antara jam 12.10 pagi hingga 12.25 pagi, 12 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya..

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, fikri Hakim zamri manakala tertuduh diwakili Peguam L. Sherveen. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini