Tumpuan :
Nasional

Kilang baja tidak berlesen dibongkar

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim bersama Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, Jegan Subramaniam melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kilang di Permatang Saga, Pinang Tunggal, Kepala Batas yang disyaki menjalankan penjualan baja secara borong tanpa lesen. -FOTO: NSTP

Oleh: Selwam Arjunan

KEPALA BATAS: Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang telah membongkar kilang baja tidak berlesen di Pinang Tunggal, di sini, semalam.

Pelbagai jenis baja seberat 169,440 kilogram (kg) bernilai RM508,470 dirampas dalam operasi berkenaan.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hasim berkata, serbuan dibuat hasil risikan selama seminggu terhadap premis yang memproses baja pertanian tanpa lesen yang sah.

Ujarnya, ketika serbuan dibuat seorang lelaki berusia 71 tahun yang mengaku sebagai pemilik perniagaan itu telah ditahan untuk membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati sejumlah besar baja dan peralatan pembungkusan serta penghasilan baja berada di premis tersebut sebelum kes diserahkan kepada KPDN Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan, petang tadi.

Hadir sama, Pengarah KPDN Pulau Pinang, Jegan Subramaniam.

Menurut Jegan, premis terbabit dipercayai menjalankan aktiviti penjualan baja secara borong tanpa lesen sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pihaknya merampas baja jumbo seberat 700 kg, 60 beg baja sebatian dan 91 beg baja sebatian NPK dengan jumlah berat keseluruhan baja adalah 169,440 kg.

“Pelbagai peralatan seperti mesin pembungkusan, mesin pengisar, mesin pengadun, mesin pemampat, mesin pemindah baja dan alat timbang turut dirampas, bersama guni kosong pelbagai jenis.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk peralatan adalah RM541,222,” katanya lagi.

Pihaknya juga menyita beberapa dokumen yang berkaitan bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan pelanggaran Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini