MELAKA: Sebuah kilang memproses bateri kenderaan elektrik (EV) dan telefon bimbit di Jalan BPR 3, Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, di sini, musnah dalam kebakaran tengah hari tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Melaka, Noor Hafizah Mohammed berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.51 tengah hari dan sepasukan lima anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, seramai 30 anggota terbabit operasi pemadaman termasuk dari BBP Cheng, Melaka Tengah, Ayer Keroh Dan Alor Gajah.

“Kilang jenis separuh kekal berkeluasan 100 x 60 kaki persegi itu terbakar 90 peratus dan kerja-kerja pemadaman masih dilakukan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Seorang saksi kejadian, Muhammad Razef Quzairee Mohd Rafee, 24, dari Taman Perwira Cheng berkata pada mulanya dia yang memandu kereta terpandang asap putih berkepul dari kawasan perindustrian terbabit, namun tidak menjangkakan ada kilang terbakar.
“Sebaik tiba saya terpandang sebuah kenderaan Toyota Alphard meluru keluar dari kilang. Masa nak sampai ke Toyota Alphard itu, tiba-tiba terdengar beberapa letupan disusuli api. Saya terus menghubungi bomba memaklumkan kebakaran,” katanya dihubungi di sini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.