comscore
Tumpuan :
Nasional

Kilang muruku guna sijil halal tamat tempoh diserbu KPDN

Serbuan ke atas kilang memproses muruku pagi semalam dan KPDN menjumpai sejumlah produk makanan ringan yang telah ditandakan dengan logo halal tidak sah.

Oleh: Kumaran Rajamoney

TAIPING: Sebuah kilang memproses muruku di Taman Pengkalan Maju, di sini diserbu pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana dipercayai menggunakan logo halal tidak sah bagi tujuan perdagangan ke atas produk jualannya.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya membuat serbuan itu sekitar jam 11 pagi semalam dan menjumpai sejumlah produk makanan ringan yang telah ditandakan dengan logo halal tidak sah.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, sijil pengesahan halal untuk produk dikeluarkan premis itu telah tamat tempoh pada 17 Mei 2017. Logo halal pada 6 jenis produk muruku yang dikeluarkan adalah untuk edaran jualan sekitar utara Semenanjung Malaysia.”

“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan bertindak menyita kesemua 1580 unit produk makanan tersebut yang menggunakan logo halal tidak sah,” katanya.

Nilai keseluruhan barang rampasan katanya adalah dianggarkan berjumlah RM8,128.40.

Kes disiasat di bawah Perintah 8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan, barang-barang atau perkhidmatan yang berhubung dengan makanan atau barang-barang itu adalah halal.

KPDN tambahnya memandang serius peniaga yang menggunakan perakuan dan penandaan halal ke atas produk makanan atau barangan keluaran yang melanggar undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Justeru pengguna dinasihatkan menyalurkan aduan kepada KPDN untuk menerusi platform yang tersedia iaitu Portal e-aduan KPDN (https://eaduan.kpdn.gov.my); Call centre 1 800 886 800; Aplikasi EZ ADU KPDN di Google Play atau App Store; dan WhatsApp KPDN di talian 019-2794317.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini