Tumpuan :
Nasional

Kilang pemasangan Proton Saga di Mesir mula beroperasi Disember depan

Oleh: Azwaliza Azman

KAHERAH: Proton akan memulakan pemasangan tempatan (CKD), bagi model Proton Saga di Mesir mulai Disember tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha Malaysia untuk membawa kaedah pemikiran baharu dalam kerjasama antara negara.

Perdana Menteri yang melancarkan kilang pemasangan Proton Saga di Mesir sebentar tadi di sini berkata, usahasama itu penting bagi memajukan industri tempatan kedua-dua negara.

“Ini menunjukkan potensi bukan sahaja bagi keperluan Mesir tetapi menjadikan Mesir sebagai perantara untuk eksport ke kawasan terutamanya di Utara Afrika dan beberapa negara Arab,” katanya.

Rancangan pengeluaran bagi kilang pemasangan di Giza itu, adalah sebanyak 16 ribu unit antara tahun ini hingga 2026, dengan anggaran nilai sebanyak RM570 juta.

Kilang berkenaan adalah kerjasama Proton bersama Ezz Elsewedy Automotive Factories (ESAF) serta disokong pengedar tempatan Ezz Elarab.

Proton Saga berkenaan akan menjadi kenderaan model pandu kiri yang pertama negara.

Majlis dihadiri Timbalan Perdana Menteri bagi Pembangunan Industri dan Menteri Pengangkutan dan Industri Mesir, Kamel Al-Wazir.

Selain Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Pengerusi Ezz Elarab Elsewedy Industrial Investments, Hisham Ezz Elarab.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini