
BUTTERWORTH: Sebuah kilang pita di Kawasan Perindustrian Prai, dilaporkan terbakar sehingga mengeluarkan kepulan asap hitam tebal, petang tadi.
Difahamkan, insiden kira-kira jam 4.40 petang itu dipercayai berlaku susulan mesin dandang atau ‘boiler’ di kilang berkenaan meletup dan mencetuskan kebakaran besar.
Anggota bomba dan penyelamat termasuk bomba sukarela bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan.
Setakat ini, mereka masih berada di lapangan untuk kerja-kerja pengawalan dan pemadaman api.
Usaha pemadaman dijalankan dengan menggunakan jentera ‘water tanker’ termasuk kren milik bomba sukarela.
Semasa kejadian dikatakan terdapat kira-kira 80 pekerja berada di dalam pejabat dan tapak kilang terbabit, sebelum kesemua mereka diarahkan keluar untuk menyelamatkan diri.
Terdahulu tular di media sosial memaparkan kejadian kebakaran terbabit yang mencemaskan pengguna jalan raya dekat situ selepas melihat kepulan asap hitam tebal di ruang udara kilang berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.