comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kilang proses plastik terpakai jadi pelet makanan ikan diserbu

 


SUNGAI PETANI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah berjaya membongkar kegiatan sebuah kilang kitar semula yang disyaki memproses plastik terpakai menjadi pelet makanan ikan dalam serbuan di premis daerah Kuala Muda.

Dalam serbuan itu, pihak berkuasa menemui kira-kira 200 tan plastik terpakai yang mana separuhnya selesai diproses sebagai pelet dan dibungkus dalam plastik bertulis makanan ikan air tawar.

Serbuan yang dilakukan kira-kira jam 11 pagi tadi bersama PDRM dan Jabatan Imigresen turut disertai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pemeriksaan mendapati, kilang kitar semula terbabit dipercayai beroperasi secara haram dan mengesyaki bahan plastik terpakai diproses untuk dijadikan pelet disebabkan rupanya seakan makanan ikan.

“Bagi penguatkuasaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ataupun AKAS, premis telah disiasat di bawah Sessyen 18 kerana menjadi kemudahan penstoran luar tapak buangan terjadual tanpa mendapat lesen daripada JAS Seksyen 34(a) AKAS kerana gagal mengemukakan laporan penilaian kepada alam sekeliling EIA kepada JAS dan Seksyen 34(b) AKAS kerana menempatkan buangan terjadual tanpa terlebih dahulu mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar,” katanya.

Pihaknya turut menyita lebih 1,500 tan bahan sisa elektronik dalam serbuan di sebuah lagi kilang kitar semula di daerah sama.

Dua kilang terbabit diambil tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan membabitkan mesin pengeluaran yang diguna pakai di dalam premis tanpa sebarang alat kawalan.

Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan mencecah puluhan juta ringgit.

Pemilik kilang akan dipanggil untuk rakaman percakapan.

Sementara itu, siasatan lanjut akan dipanjangkan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini