comscore
Tumpuan :
Nasional

Kilang proses ubat batuk tiruan diserbu

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sebuah kilang menghasilkan produk ubat batuk tiruan di Mantin, Negeri Sembilan diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, KPDN.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata operasi bersepadu pada 15 Disember lalu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bersama Kementerian Kesihatan KKM, Lembaga Hasil Dalam Negeri LHDN dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional NFCC.

Jelasnya, operasi ke premis memproses dan menyimpan pelbagai barangan bahan mentah serta botol pembungkusan untuk pembuatan ubat tersebut adalah hasil aduan awam dan risikan pihak KKM selama tiga bulan sebelum serbuan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis terbabit, pasukan serbuan telah menemukan sejumlah 10,000 botol ubat batuk yang telah siap dibungkus, 900 liter cecair disyaki ubat batuk di dalam mesin pengadun, kenderaan dan beberapa peralatan lain yang digunakan bagi tujuan memproses ubat batuk menggunakan jenama ubat batuk terkenal yang disyaki tiruan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kesemua bahan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain disita bagi tujuan siasatan dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM236,516.

Selain itu, seorang individu wanita, 38, warga tempatan yang mengaku bertanggungjawab ke atas premis berkenaan turut ditahan untuk membantu siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].

Menurut Azman, syarikat itu juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613].

Siasatan itu atas kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat pelucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan cap dagangan.

“Hasil tindakan awal, sebanyak 56 akaun telah dibekukan melibatkan sembilan entiti di mana empat daripadanya merupakan akaun syarikat manakala selebihnya lima akaun individu dengan keseluruhannya berjumlah RM10.68 juta,” katanya.

Ujarnya, dua bangunan industri dan kilang di kawasan perindustrian ringan yang dijadikan tempat pemprosesan disita dengan nilai keseluruhan kira-kira RM2.6 juta.

Sementara itu, pihak KKM akan menjalankan siasatan lanjut di bawah Akta Racun 1952 [Akta 366].

Azman turut memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak melakukan aktiviti memproses dan menjual barang yang tidak mendapat kelulusan atau kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar yang sah terutama berkaitan barangan ubat-ubatan kerana boleh mengancam keselamatan pengguna.

Beliau juga menasihatkan pengguna supaya sentiasa berhati-hati apabila membeli ubat-ubatan sama ada di premis fizikal atau secara dalam talian agar tidak mudah terpedaya, selain tidak menyokong aktiviti penjualan barangan tiruan kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan kerugian malah menjejaskan kesihatan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini