comscore
Tumpuan :
Nasional

Kilang roti dan aluminum diserbu Imigresen, 52 warga asing ditahan

Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 52 warga asing dan dua warga tempatan, dalam Op Mahir di kilang aluminium dan kilang roti di sekitar Iskandar Puteri, di sini, semalam.

Pemangku Pengarah JIM negeri Mohd Faizal Shamsudin berkata serbuan secara berasingan itu, dilakukan sepasukan pegawai daripada Bahagian Penguat Kuasa, kira-kira pukul 11 pagi.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan itu diambil, susulan aduan awam berhubung warga asing yang bekerja tanpa pas atau permit, serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Mereka yang ditahan di kilang aluminium terdiri daripada 10 lelaki Pakistan, sembilan lelaki Bangladesh, empat lelaki China dan tiga lelaki Myanmar, berusia dalam lingkungan 20 tahun hingga 46 tahun.

“Turut ditahan seorang wanita tempatan berumur 43 tahun yang merupakan pengurus kilang berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Faizal berkata tangkapan di kilang roti pula melibatkan 14 lelaki dan sembilan wanita Myanmar, dua lelaki Pakistan dan seorang lelaki Nepal, berumur antara 21 tahun hingga 42 tahun.

Beliau berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun, yang merupakan pengarah syarikat tersebut.

“Kesemua warga asing yang ditahan dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Sebanyak tiga notis hadir ke pejabat telah dikeluarkan bagi membantu siasatan dan kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika, untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini