Tumpuan :
Nasional

Kilang Sawit AI pertama di dunia dilancar di Kuala Kangsar

Oleh: Kumaran Rajamoney

KUALA KANGSAR: Malaysia menjadi negara pertama di dunia berjaya membentuk kilang minyak sawit pintar berasaskan Kecerdasan Buatan (AI), menerusi pelancarannya di sini, hari ini.

Menteri Peladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, teknologi yang dibangunkan AIREI Sendirian Berhad itu mentakrif semula kecekapan dan tenaga lestari dalam sektor minyak sawit Malaysia.

Inisiatif itu jelasnya adalah langkah inovatif ke arah kemajuan industri dan pemeliharaan alam sekitar bagi memanfaatkan industri sawit.

Pelaburan teknologi AI ini melibatkan kos pembangunan berjumlah RM5 juta, dan dijangka mampu mengurangkan pelbagai kos operasi sehingga RM2.6 juta setahun.

“Saya difahamkan bahawa menerusi pengenalan AI, banyak kos dapat dijimatkan. Contohnya kos tenaga, kos utiliti, dan paling penting mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing sehingga 35 peratus.”

“Sekiranya teknologi ini dapat dikembangkan untuk digunapakai 446 kilang minyak sawit diseluruh negara, saya jangkakan pengurangan pekerja asing dapat dikurangkan sehingga lapan ribu orang. Ini satu jumlah yang besar,” katanya.

Jelasnya, teknologi AI juga mengurangkan kehilangan minyak dalam pemprosesan, menerusi indikator yang menghentikan operasi sekiranya berlaku sebarang kesilapan.

Selain itu, pengenalan teknologi yang memerlukan kemahiran juga membuka ruang kepada lebih ramai graduan tempatan mempunyai peluang pekerjaaan berpendapatan tinggi.

“Saya akan terus memantau perkembangan kilang ini, bagi melihat hasilnya dari masa ke masa. Teknologi ini perlu mempunyai ketahanan untuk satu jangka masa yang panjang supaya boleh diperkenalkan kepada pemain industri yang lain.”

“Saya sudah memohon keizinan dari AIREI untuk berkongsi ilmu dan kepakaran kepada pemilik kilang lain supaya insutri sawit kita akan terus mampan,” jelasnya ketika ditemui selepas melancarkan Kilang Sawit Pintar Pertama di Dunia berasaskan AI, di sini.

Untuk rekod, sistem inovatif AIREI mengintegrasikan empat komponen utama untuk mengoptimumkan prestasi kilang iaitu Sensor Lanjutan, Kamera Litar Tertutup Berasaskan AI, Sistem Kawalan Berasaskan AI dan Penyelenggaraan Ramalan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini