comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Kita buang yang keruh ambil yang jernih, dia tetap anak saya’

PADANG TERAP: “Saya mahu mulakan hidup baharu dan mohon maaf kepada orang tua saya,” kata Siti Mariah Hamzah, 39 yang akhirnya pulang ke pangkuan keluarganya tengah hari tadi selepas 9 tahun hilang.

Wanita itu yang mesra dengan panggilan Kak Long disambut ibu bapa dan adik beradiknya yang lain menzahirkan rasa gembira dapat bertemu keluarganya di kampung halaman.

“Sebak sangat-sangat rindu kat mak ayah…Ingat semua benda di sini, inilah tempat saya dilahirkan, tempat saya bermain, saya nak mulakan hidup baharu, saya nak perbetulkan…semoga urusan saya dipermudahkan Allah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sireh, Naka di sini, hari ini.

Anak sulung daripada empat beradik ini berkata, dia berterima kasih kepada semua pihak terutama polis yang membantu mencarinya.

Ibu Mariah, Che Safuan Abd Rahman, 61, berkata dia sangat bersemangat hari ini untuk menyambut kepulangan anak perempuan tunggalnya.

“Akhirnya dia ada di depan mata, sebelum ini makcik pergi menoreh pun tak bersemangat tapi apabila tahu Kak Long nak balik saya jadi semangat.

Sebagai seorang ibu, Che Safuan sentiasa memaafkan anaknya dan tiada apa yang paling menggembirakan apabila dapat melihat wajah dan memeluk anaknya hari ini.

“Kita buang yang keruh dan ambil yang jernih, dia tetap anak saya,” katanya.

Bagi Hamzah Said, 65, sebagai bapa dia berharap hubungan bersama anaknya akan kembali akrab seperti dahulu.

Kisah kehilangan Siti Mariah pernah dilaporkan media pada 20 November lalu sebelum ditemui Polis, Rabu lalu.

Hamzah dan isterinya sebelum ini meluahkan kerinduan terhadap anak sulung mereka yang hilang tanpa khabar berita selepas keluar dari rumah untuk mencari pekerjaan pada 2015.

Loading...
Terkini