KUALA LUMPUR: Selepas hampir lima tahun, Karnival Jom Heboh (KJH) kembali menyapa rakyat Sabah.
Acara padang ikonik itu akan menggegarkan tapak Kota Kinabalu Sports Complex, Sabah antara Jumaat hingga Ahad ini, sekali gus menjadikan lokasi terakhir siri jelajah KJH sebagai penutup yang gemilang.
Disenaraikan sebagai Acara Padang Paling Lama oleh The Malaysian Book of Records, KJH terus menjadi acara kegemaran rakyat Malaysia.
Sejak dianjurkan pada 2003, karnival ini menarik jutaan pengunjung dan menjadi platform menyatukan komuniti melalui hiburan, interaksi dan pelbagai aktiviti menarik.
Antara tarikan KJH Sabah, pengunjung boleh beramah mesra dengan selebriti kegemaran di Studio Tonton Drama Sangat. Sertai juga aktiviti menyeronokkan seperti Buletin Challenge, pertandingan mewarna dan sesi bersama maskot yang comel dan mencuit hati.
Reruai jualan oleh jenama popular seperti F&N, Marigold, dan 4Fingers menjanjikan tawaran menarik.
Tidak ketinggalan, perkhidmatan seperti KWSP, Affin Bank dan U-Mobile turut hadir dengan promosi eksklusif buat pengunjung yang hadir.
Malam pertama, Jom Lokal Jam menampilkan bakat-bakat tempatan yang memukau, diikuti malam kedua dan ketiga menampilkan Konsert Jom Heboh bersama artis terkenal termasuk persembahan istimewa oleh alumni One In A Million pada malam kedua.
Persembahan itu meraikan kebangkitan program ikonik berkenaan selepas 15 tahun menyepi.
Sepanjang tiga hari itu, KJH Sabah akan menjadi medan pertemuan komuniti dengan aktiviti sesuai untuk seisi keluarga.
Rangkaian program dari hiburan hingga promosi jualan bersama persembahan menarik daripada selebriti memastikan setiap pengunjung mendapat pengalaman tidak akan dilupakan.
“Sabah sentiasa menjadi destinasi istimewa buat kami. Kembalinya KJH ke sini adalah penghargaan kepada rakyat Sabah dan Sarawak yang sentiasa memberi sokongan padu.
“Kami berharap karnival ini menjadi platform yang mengukuhkan lagi semangat kebersamaan dan ukhuwah,” ujar Pengarah Projek Karnival Jom Heboh, Eileen.
Sebagai usaha menyebarkan kebaikan, pengunjung juga boleh menyertai inisiatif Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima dengan memberikan sumbangan di reruai khas sepanjang karnival berlangsung.
Untuk maklumat lanjut, layari www.jomheboh.com.my atau ikuti media sosial rasmi di @jomhebohofficial di Facebook dan Instagram.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.