comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK KKB: 18 pusat mengundi dibuka jam 8 pagi ini

 

Sekitar bandar di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor. – FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Seramai 39,362 pengundi akan menunaikan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) hari ini.

18 pusat mengundi yang terdiri daripada 74  saluran akan dibuka dari jam 8 pagi hingga  jam 6 petang, kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 orang pengundi, dijangka ditutup jam 2 petang.

Proses penjumlahan undi akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan DUN KKB memiliki sebanyak 40,226 pengundi berdaftar dan daripada jumlah itu, 39,362 ialah pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Selasa lalu, 97 peratus atau 769 anggota polis, tentera dan pasangan masing-masing telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal.

SPR menugaskan seramai 760 orang petugas pada PRK berkenaan.

Pengundi diingatkan untuk membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian, bagi memudahkan semakan nama serta membantu kelancaran proses pengundian.

Penggunaan telefon bimbit di saluran tidak dibenarkan dan pengundi, calon serta petugas yang ingin memasuki pusat mengundi, dilarang memakai baju, topi, pelitup muka atau sebarang bahan yang mempunyai nama, lambang, simbol atau gambar parti serta calon yang bertanding.

PRK KKB menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Semua calon tidak akan turun mengundi esok kerana merupakan pengundi luar, namun dijangka akan mengadakan lawatan di pusat pengundian.

Pilihan raya tersebut diadakan susulan kematian penyandang kerusi DUN terbabit, mendiang Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan tiga pencabarnya daripada Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan meraih majoriti undi 4,119.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini