comscore
Tumpuan :
Nasional

KKDW rancang bangunkan eko pelancongan sempadan di Sabah – Ahmad Zahid

Persembahan kebudayaan masyarakat Lundayeh sempena perasmian sambutan festival budaya Irau Rayeh Lundayeh Sabah di Kompleks Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah Sipitang, semalam. – FOTO: Ihsan pembaca

SIPITANG: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan berusaha membangunkan aktiviti eko pelancongan di daerah luar bandar Sabah, khususnya di kawasan sempadan seperti di daerah ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu sejajar potensi besar yang bakal dinikmati kawasan sempadan Sabah berikutan pemindahan ibu kota Indonesia ke Nusantara, Kalimantan.

Katanya, langkah negara jiran itu bakal meningkatkan akses di kawasan sempadan Sabah dan membuka peluang ekonomi yang lebih besar di wilayah ini.

“KKDW akan terus mencari jalan untuk menjana eko pelancongan di kawasan luar bandar Sabah memandangkan potensi besar yang dimiliki apabila pusat pentadbiran kerajaan Indonesia dipindahkan ke Kalimantan.

“Pemindahan itu sudah pasti akan meningkatkan akses dan membuka peluang pembangunan ekonomi yang lebih besar di wilayah ini,” katanya dalam ucapan perasmian sambutan Irau Rayeh Lundayeh Sabah Ke-16 di Kompleks Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah (PKLS), di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Yang turut hadir ialah Presiden Persatuan Lundayeh Sabah, Datuk Pengiran Lalung.

Irau Rayeh ialah festival budaya masyarakat Lundayeh yang kebanyakannya mendiami kawasan sempadan Sabah-Kalimantan, khususnya Long Pasia, Sipitang.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kementerian itu juga akan meluluskan peruntukan khusus bagi membantu penggiat kraftangan etnik Lundayeh di Kompleks PKLS, di sini.

Mengenai festival budaya yang diraikan masyarakat Lundayeh, Ahmad Zahid berkata acara tahunan itu perlu dipromosikan dengan lebih meluas melalui penggunaan media sosial dan platform digital.

Katanya, pendekatan itu akan memastikan keterlihatan global yang lebih tinggi, selain dapat menghubungkan masyarakat Lundayeh secara terus kepada dunia luar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini