Tumpuan :
Nasional

KKM akan umum laporan siasatan kematian doktor pakar seawal bulan depan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. – Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengumumkan hasil siasatan jawatankuasa bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat kematian pakar perubatan patologi di Hospital Lahad Datu, Sabah, seawal bulan depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM menetapkan tempoh selama tiga bulan, namun jika hasil siasatan dapat diberikan dalam tempoh terdekat, pihaknya tidak akan menunggu sehingga Januari.

“Kalau dapat lebih awal, kita akan mengadakan sidang media untuk memberikan butiran hasil siasatan memandangkan jawatankuasa bebas ini bukan di bawah KKM, jadi kita tidak boleh mendesak untuk menyegerakan siasatan.

“Bagaimanapun, KKM akan telus dan tiada sebarang perkara akan disembunyikan,” katanya selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024, di sini, hari ini.

Pada 29 Ogos lalu, seorang doktor ditemui mati di kediamannya di Lahad Datu, Sabah yang didakwa disebabkan tindakan bunuh diri, berikutan tidak tahan dibuli oleh ketua jabatannya.

Perkara itu didedahkan adik mangsa, yang dikenali sebagai YS Tay yang mendakwa kakaknya, Dr Tay Tien Yaa, ditindas pegawai atasannya, selain menghadapi tekanan sepanjang bertugas di unitnya akibat beban kerja melampau.

Tay dalam perkongsian melalui akaun Facebooknya berkata, kakaknya yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Unit Patologi Kimia di Jabatan Patologi juga terpaksa berurusan dengan pemeriksaan instrumen, menghadiri mesyuarat, penyediaan laporan, menguruskan sumber manusia dan perancangan kewangan jabatan.

Dr Tien Yaa menamatkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2023 sebelum melapor diri di Hospital Lahad Datu pada Februari 2024.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini